Thursday, November 29, 2012

Muaz Ekspres – Model Bisnes


Ditulis oleh 

Sedutan kisah lalu: Muaz gigih ke perpustakaan bagi mencari idea membuat slogan bisnes. Sebaliknya, dia bertemu dengan gadis penjaga perpustakaan itu bernama Ain.

Di situ juga dia terjumpa dengan buku berkenaan model bisnes lalu tertarik. Kata-kata Ain yang bernas, membuatkan Muaz berfikir panjang.
Kedua tangan Ain diletakkan bersilang di atas meja.
Dengan mata tidak berkedip, dia merenung Muaz lalu berkata,
“Pesan sifu bisnes saya, orang yang berjaya adalah orang yang sanggup melaburkan wang, masa, dan tenaga. Lebih banyak dia melabur, lebih banyak pulangan akan diperolehinya.”
Muaz menelan liur.
“Bagaimana sekiranya seseorang itu memang mahu berbisnes tetapi memang tidak punya wang bagi dilaburkan?”
Mata Ain tajam bersinar-sinar.
“Adakah dia juga tidak ada masa dan tenaga?”

Apa yang Ada Di Tangan

Sekali lagi Muaz menelan liur. Tiba-tiba kata-kata Farhan melintas di fikirannya, ‘Mulakan dengan apa yang ada di tangan.’
Tersengih Muaz lalu kembali duduk tegak.
“Baik, saya mahu jadi ahli perpustakaan ini!”
Ain tersenyum dan menjongket sebelah kening.
Kemudian, tergagap Muaz berkata perlahan, “Bolehkah… yurannya… saya bayar secara… ansuran?”
Tiba-tiba Ain menepuk meja dengan kuat! Hampir terbalik Muaz dengan kerusi yang diduduki. Sambil merenung tepat ke mata Muaz, Ain berkata, “Baiklah! Isi borang ini sekarang juga!”
Ain menyapu kedua tapak tangan sambil tersenyum lebar dan berlalu dari situ. Muaz mengurut dada. Dia menarik nafas panjang, lalu mula mengisi borang yang diberi.
‘Macam gangster. Tidak padan dengan muka yang cantik.’
Muaz tersengih sendirian.
Berjaya membuat pinjaman kali pertama, Muaz pulang ke rumah dengan buku Business Model Generation. Dia menyandarkan bantal di dinding, dan tubuhnya pula disandarkan di bantal itu sambil sebelah kaki berlunjur dan sebelah kaki berlipat.
Tekun dia meneliti satu per satu halaman buku itu.
‘A business model describes the rationale of how an organization creates, delivers, and captures value.’
Muaz mengurut dagu.
Model bisnes menjelaskan rasional berkenaan bagaimana sebuah organisasi mencipta, menyampai, dan menangkap nilai.’
Tersengih Muaz sambil menggaru kepala.
‘Sudah seperti Google Translator pula aku ini. Entah betul, entah tidak. Bahasa Inggeris aku dahulu sedang-sedang sahaja markahnya.’
Dia menyelak lagi ke halaman sebelah.
‘Customer segments… segmen pelanggan. Terdapat beberapa segmen pelanggan yang berbeza; pasaran massa, pasaran niche, bersegmen, pelbagai, platfom dua sisi….’
Muaz menggaru kepala. Dia kemudian membelek lagi halaman-halaman dalam buku panjang berkulit putih itu.

Business Model Canvas

‘Business model canvas. Wah, apakah ini?’

Satu halaman penuh yang terlukis beberapa kotak diamatinya. Tertulis di kotak-kotak itu, Key Partners, Key Activities, Value Propositions, Customer Relationships, Customer Segments, Channels, Cost Structure, dan Revenue Streams.
‘Apa semua ini? Farhan tidak pernah pula menyebutnya.’
Laju dia menyelak semula halaman-halaman sebelumnya. Dibaca satu per satu penerangan berkenaan setiap yang ditulis di dalam kotak-kotak itu.
Tiba-tiba Muaz menutup buku. Matanya melilau ke sekeliling bilik.
‘Aku perlukan kertas… dan pen! Aku perlukan kertas… banyak… besar!’
Bilik kecil itu digeledah. Segala beg dan fail dibongkar. Hanya tiga helai kertas yang sudah digunakan ditemuinya. Dibelek buku notanya pula, kemudian dia menggeleng.
‘Buku nota aku ini kecil. Tidak puas menulisnya.’
Muaz berdiri memerhatikan sekeliling sambil bercekak pinggang. Tidak lama, dia menjatuhkan diri ke atas tilam dan terus terlena.

Engkau Menanam, Engkau Mula Dapat Hasil

Jam 7:58 pagi, Muaz sudah terpacak di hadapan rumah Farhan. Farhan yang masih berbaju tidur, mengerut dahi sambil menjawab salam Muaz.
“Engkau baru balik dari kursus motivasi?”
Merah padam wajah Muaz, namun dia tetap melangkah mendekati Farhan. Dia mengeluarkan buku Business Model Generation daripada beg, dan menunjukkannya sambil berkata, “Engkau tidak pernah sebut berkenaan model bisnes.”
Farhan menjongket sebelah kening, mengambil buku itu daripada tangan Muaz, seraya tersenyum.
“Man zaro’a hasoda.”
“Ya…?”
“Engkau menanam, sekarang engkau mula mendapat hasil. Di mana engkau dapat buku ini?” Farhan membelek buku itu, dan menyambung, “Pustaka al-Ikhwan… engkau ke perpustakaan?”
Merah sekali lagi wajah Muaz, tetapi sedikit berbeza dengan merah yang tadi.
“Aku mahu cari kamus, mahu cipta slogan sebagaimana engkau sarankan. Di sana aku terjumpa buku ini dan Ain….”
Bulat mata Farhan.
Tergagap Muaz, “Ain… Cikpuan Ain, penjaga perpustakaan itu. Dia rekomen aku jadi ahli perpustakaan, supaya aku dapat pinjam buku ini.”
Farhan mengangkat-angkat kening.
“Apapun, aku ucapkan tahniah sebab engkau berminat mahu belajar model bisnes. Tidak ramai usahawan yang memulakan bisnes mereka dengan model begini. Langkah engkau ini sudah sangat bagus. Tahniah sekali lagi, dan tunggu aku mandi sebentar, kemudian aku terangkan kepada engkau bagaimana membuat model bisnes Muaz Ekspres.”
Langkah Farhan terhenti, dan dia berpaling memandang Muaz, “Sebagai pemanas, ini aku beritahu. Model bisnes ini dapat menjadikan bisnes engkau lebih tersusun, mudah diurus, dan jelas hala tujunya.”
Muaz tersenyum lebar.
(Bersambung….)
Kredit: Wikipedia, Glennas.
Azzah AR merupakan seorang usahawan, penulis dan jurulatih bertauliah dari Pembangunan Sumber Manusia Berhad. Antara buku motivasi yang dihasilkan berdasarkan pengalaman sebenar seperti Pilih Jangan Tak Pilih.




No comments:

Post a Comment